KUALA LUMPUR, — Penganut agama Yahudi dan Kristian sudah
menggunakan kalimah “Allah” jauh lebih lama sebelum kedatangan Nabi
Muhammad kata Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) dalam
sebuah kuliah di kala isu ini masih lagi hangat diperdebatkan dan
menjadi tajuk utama diseluruh negara.
Penjelasan bekas Mufti Perlis ini muncul selepas perdebatan mengenai
penggunaan kalimah Allah ini timbul kembali akibat daripada kenyataan
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menggesa kerajaan pusat
membenarkan penggunaan perkataan Arab itu dalam kitab Injil berbahasa
Melayu sempena perutusan Krismas pada 24 Disember lalu.
“Pertama, sebelum kita nak bincang Bible tak Bible ni, simple je.
Bila orang Kristian ni pi kata, pi sebut Al- Masih anak Allah. Bila?
“Kelmarin dulu ka? Mula dengan geng Penang tu ka? Ataupun dah lama?
Bila? Saya nak tanya, ada dak Yahudi dan Kristian di Madinah? Ada dak?
Mereka hidup dak? Nabi benarkan tak mereka hidup?” tanya beliau.
Isa Al-Masih adalah nama Arab bagi Yesus Kristus yang Kristian
percaya adalah satu aspek tuhan, tetapi masyarakat Islam di sini
berhujah penggunaan perkataan “Allah” harus menjadi eksklusif kepada
mereka atas alasan bahawa Islam adalah monoteistik dan perkataan
bermaksud tuhan Islam.
Mohd Asri turut berkongsi pengalamannya di negara Arab di mana kitab
Injil sememangnya menggunakan kalimah Allah dan ini menurutnya sudah
berlaku sebelum Muhammad mengajarkan Islam.
“Tuan-tuan kalau pergi ke negara Arab, tuan-tuan tengok Bible dia memang Allah. Bukan mula kelmarin dulu, sebelum nabi lagi.
“Kalau tuan-tuan jumpa Kristian Arab, Daud... Ibrahim... Sulaiman...
Alhamdulillah dia sebut,” kata Mohd Asri dalam sebuah kuliah bertajuk
“Penggunaan Nama ALLAH Oleh Bukan Islam” yang dimuatnaik dalam laman
social YouTube Sabtu lalu.
Menurut bekas Mufti Perlis itu, kekeliruan berhubung dengan
penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam tidak seharusnya berlaku jika
setiap umat Islam jelas dengan kepercayaan mereka.
“Ok. Itu adalah realiti. Orang kata keliru. Yang keliru tu hak yang
tidak jelas akidah ja. Takkan akidah taslis, trinity. Memang ada keliru.
Bukan kata nama Allah dalam Bible nama nabi. Orang kata nabi takpa
Allah yang tak buleh. Ai… mempercayai para rasul rukun Iman jugak tau.
“Dak kami tak masuk... Ha... Itu hang punya masalah. Tapi nama mereka
ada. Saya bukan bela mereka. Saya tak bela. Saya nak cerita itu adalah
realiti Quran. Sebab itu Quran sebut,” katanya lagi.
Pensyarah Universiti Sains Malaysia itu menjelaskan, penggunaan
kalimah Allah bagi penganut agama Yahudi dan Kristian adalah di antara
sebab mereka digelar Ahli Kitab di dalam Al-Quran.
“Musyrikin orang yang mensyirikkan Allah. Sebab apa dia syirik? Sebab
dia kata di samping Allah ‘beside Allah there is another god’. Di
samping Allah ada tuhan yang lain.
“Maka dia dinamakan dengan Musyrikin. Kalau dia tak percaya langsung Allah itu namanya Atheist,” katanya lagi.
Mohd Asri mengatakan, tidak ada masalah jika kerajaan mahu
menguatkuasakan undang-undang menghalang bukan Islam daripada
menggunakan perkataan Allah bagi mengelakkan kekecohan tetapi jangan
beri alasan Islam yang melarang penggunaan perkataan Arab tersebut.
“Siang hari matahari panas. Terang terik benderang dia suruh kita
pasang lampu motor kita pasanglah. Pasal itu peraturan. Kereta kita beli
260 dia kata bahaya 110. Kita patuh 110 takpa lah. Walaupun kereta kita
beli. Kerajaan memang ada hak. Orang tanya saya habis tu mana satu kita
nak patuh?
“Banyak uniform kita.. Topi... Ada Allah Muhammad. Non Muslim pun
pakai. Non Muslim pakai bertulis tu Non Muslim pakai. So kita
kadang-kadang... Habaq betui-betui... Memang buleh dari segi Islam tapi
di Malaysia keadaan tak mengizinkan. Toksah bagilah.
“Lepas tu arguelah di parlimen takpalah. Jangan pi kata, macam
setengah orang kata tak buleh non Muslim masuk masjid. Depa pun hairan.
Karpet dia pasang. Kubah dia pasang. Bumbung cat dia buat. Habis siap
pasang .. Haram masuk... Aaa? Jadi orang bukan Islam lagi peninglah
dengan Islam,” katanya lagi dengan menggunakan loghat Utara.
Klip 14 minit telah menarik lebih 62,000 tontonan, 545 tanda suka dan
16 tidak suka dan dimuatnaik di YouTube pada 12 Januari oleh TV Sunnah,
sebuah siaran mengenai program Islam.
Bangsa dan agama adalah isu-isu yang tidak dapat dipisahkan di
Malaysia, di mana orang Melayu — yang membentuk 60 peratus daripada
penduduk 28 juta — ditakrifkan perlembagaan sebagai orang Islam, dan
dengan itu adalah tertakluk kepada telunjuk Raja-Raja negeri yang
merupakan pemimpin tertinggi Islam.
Dalam kenyataan dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada 8
Januari lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah terkejut dan kesal dengan
tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang meminta agar Putrajaya
membenarkan kalimah Allah digunakan dalam semua Bible berbahasa Melayu
baru-baru ini.
“DYMM Sultan Selangor telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan
tegas bahawa kalimah Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat
Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh
mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang telah difatwa dan
diwartakan pada 18 Februari 2010,” kata Setiausaha MAIS Datuk Mohd
Misri Idris.
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, masyarakat Kristian dan Islam
terlibat dalam perang mulut mengenai perkataan “Allah”, dengan kumpulan
kedua berhujah penggunaannya perlu eksklusif kepada mereka atas alasan
bahawa Islam adalah monoteistik dan perkataan “Allah” bermaksud tuhan
kepada orang Islam.
Penghantaran Alkitab, kitab Injil dalam bahasa Melayu kepada
Bumiputera Kristian yang menggunakan Bahasa Melayu telah disekat atau
dirampas di pelabuhan, sebelum kerajaan akhirnya tunduk kepada tekanan
dan membebaskannya pada tahun 2011.
-themalaysianinsider.com